SIBU: Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Bahasa Iban menjadi detik kejayaan bersejarah untuk melahirkan kumpulan pertama bakal guru berkelulusan ijazah dalam pengkhususan Bahasa Iban.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, kejayaan itu membolehkan guru-guru efisien dan berketerampilan mengajar Bahasa Iban dilahirkan, sekali gus membantu murid-murid dalam pembelajaran Bahasa Iban.
“Subjek Bahasa Iban telah ditawarkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak sejak tahun 2010 dengan menumpukan kepada guru-guru yang bakal mengajar di Sarawak.
“Ini merupakan satu pengiktirafan kerana Bahasa Iban setanding dengan Bahasa Mandarin dan Tamil yang mana subjeknya juga diwujudkan di universiti tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran PISMP Bahasa Iban dan Simposium Bahasa dan Sastera Iban di sini, semalam.
Jabu berkata, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang merupakan IPG pertama yang menawarkan PISMP Bahasa Iban dengan kumpulan pertama ambilan Januari 2013.
Seramai 24 bakal guru kumpulan pertama itu akan menamatkan pengajian mereka pada November 2016 dan setakat ini, IPG Kampus Rajang telah menerima empat kumpulan dengan seramai 83 pelajar untuk PISMP Bahasa Iban, tambahnya.
Selain IPG Kampus Rajang, katanya, IPG Kampus Sarawak, Miri juga menerima satu kumpulan PISMP Bahasa Iban ambilan Jun 2014 dengan seramai 15 orang yang bakal tamat pengajian pada Mei 2019.
“PISMP Bahasa Iban ditawarkan dalam usaha untuk memperkasakan pembangunan Bahasa Iban ke peringkat pendidikan tinggi serta menyediakan tenaga pendidik yang berkualiti dalam mendidik anak bangsa di institusi pendidikan Malaysia,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Jabu mengumumkan peruntukan khas masing-masing RM30,000 kepada IPG Kampus Rajang dan Persatuan Pembangunan Pendidikan Bahasa Iban (AEDIL) untuk menganjurkan Pertandingan Menulis Esei Bahasa Iban.
“Pertandingan menulis esei itu perlu memberi penekanan berkaitan dengan usaha mengekalkan semangat patriotisme dalam kalangan generasai muda,” jelasnya yang turut mengumumkan peruntukan tambahan RM40,000 kepada IPG Kampus Rajang.
Hadir sama ialah Rektor IPG Malaysia Sulaiman Wak, Pengarah IPG Kampus Rajang Raymond Gai Panting @ Gaie dan Presiden AEDIL Dr Lambat Lindong.
Read more: http://www.theborneopost.com/2014/09/06/misi-lahir-guru-bahasa-iban-efisien/#ixzz3PHLexOxW
No comments:
Post a Comment